HADIS & DALIL

Friday, January 26, 2018

Pada asalnya Allah SWT mengutuskan rasul-Nya bagi memimpin manusia seluruhnya bermula dari Nabi Adam AS sebagai manusia pertama dijadikan Allah SWT, lalu diangkat menjadi Rasul, sehinggalah kepada nabi yang terakhir, iaitu junjungan besar kita nabi Muhammad SAW. Semuanya rasul ini bertugas menyampaikan hukum-hakam Allah SWT bagi mengatur individu, masyarakat dan negara berdasarkan perintah-Nya yang diwahyukan kepada mereka (Din, 2002). Oleh sebab Nabi Muhammad SAW merupakan Nabi yang terakhir yang diutuskan, maka Allah SWT meminta umat Islam menyambung tugas penyampaian ini kepada para umat hingga ke hari Kiamat sebagaimana firman-Nya:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ١٠٤

Maksud: Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.

(Surah Ali ‘Imran, 3:104)

Berdasarkan matlamat amar makruf dan nahi mungkar ini, maka setiap Muslim yang melaksanakannya mampu mendapat pengiktirafan sebagai umat yang terbaik. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ١١٠

Maksud: Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

(Surah Ali ‘Imran, 3:110)

Dalil ini jelas menerangkan tentang tanggungjawab Muslim sesama Muslim yang lain. Mungkin kadangkala terdapat Muslim yang terleka dan terlupa, maka wajarlah Muslim yang ingat untuk mengingatkan mereka dan menarik mereka semula pada jalan yang benar. Tidak timbul persoalan bahawa perbuatan menyeru kepada kebaikan mencegah kemungkaran ini sebagai satu perbuatan menjaga tepi kain orang lain

Bibliografi
Din, Haron. 2002. Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments:

Post a Comment

 
FREE BLOGGER TEMPLATE BY DESIGNER BLOGS